MAKALAH TAMADUN MELAYU ISLAM



1. Kepercayaan Melayu Sebelum Islam
Anutan tertua masyarakat Melayu ialah Animisme. Animisme ialah kepercayaan kepada makhluk-makhluk, objek-objek ataupun roh (spiritual beings) . Kepercayaan ini berkait rapat dengan suasana kehidupan masyarakat yang bergantung kepada alam sekitar, muka bumi dan sebagainya untuk menggerakkan aktiviti pertanian yang menjadi sumber ekonomi mereka. Ia telah melahirkan satu bentuk hubungan yang erat antara manusia dan persekitarannya. Keakraban ini mewujudkan satu bentuk kepercayaan bahawa setiap yang ada di sekeliling mereka juga ‘hidup’ dan mempunyai ‘roh’, ‘semangat’ dankeperibadian tersendiri.

Di Nusantara kepercayaan animisme ini juga wujud dalam bentuk kepercayaan kepada ‘penunggu’ atau ‘puaka’ yang menghunu sesuatu tempat. Mereka turut meyakini makhluk-makhluk ini boleh mendatangkan kesan baik ataupun kesan buruk kepada mereka. Kepercayaan kepada animisme juga telah membawa kepada amalan beragama iaitu pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu yang dipercayai mempunya kuasa untuk mendatangkan kesan-kesan tertentu kepada si pemuja. Contohnya, masih ramai orang-orang Melayu memuja kampung mereka, ini bertujuan supaya kampung mereka berada dalam keselamatan dan kesejahteraan tanpa diganggu-gugat oleh jin, jembalang afrit, hantu raya, dan sebagainya. Mereka juga percaya jika tidak dilakukan tiap-tiap tahun atau tiga tahun sekali, ia akan membawa malapetaka atau orang-orang kampung akan digodai oleh jin iblis, dan sebagainya.

Satu lagi contoh yang berkaitan ialah orang Melayu mempercayai bahawa padi ada mempunyai semangat, tetapi semangat padi itu adalah wanita, sebab itu di rumah-rumah padi, mereka menyediakan alat-alat solek seperti sikat rambut, minyak rambut, bedak dan cermin muka. Mereka menyediakan semua itu agar semangat yang dipanggil sebagai Sri Danggolami itu sukacita. Untuk menjaga semangat padi supaya tidak melarikan dirinya, mereka mengadakan bermacam-macam pantang larang, antaranya ialah : Mengambil padi dari jelapang padi mestilah seorang wanita kerana dia bersifat lemah-lembut. Kalau tidak dijaga pantang larangnya, maka semangat padi akan kuarng dan seterusnya akan hilang.

Bila semangat itu lari maka akibatnya padi cepat habis hasil padi akan merosot Kepercayaan kepada animisme juga telah membawa kepada pantang larang. Masyarakat ini mempercayai melanggar pantang larang boleh membawa kecelakaan dalam hidup mereka. Pantang larang dalam adat-istiadat Melayu membawa pengertian bahawa sesuatu itu tidak boleh dibuat, tidak boleh dimakan, tidak boleh disebut dan sebagainya.

Keramat ialah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang banyak baktinya kepada Allah S.W.T. Segala yang dipohonkan adalah dimakbulkan oleh Allah kerana amat dikasihi. Keramat itu hanya berlaku ketika orang itu masih hidup. Mengikut pandangan Ismail Awang, keramat itu ialah suatu yang timbul atau sesuatu yang lahir, yang menyalahi adat dari sseseorang yang dianggap kekasih Allah, atau lazimnya disebut Wali Allah, sebagai Allah memuliakannya. Tetapi tidaklah menjadi syarat bahawa keramat itu harus sesuatu yang luar biasa atau menyalahi adat di kalangan manusia itu, biasanya orang seperti itu mudah mendapat sesuatu hajat. Keramat ini adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang soleh yang hampir kepada-Nya, untuk mematahkan atau melemahkan pendirian orang kafir. Tetapi mu’jizat ialah anugerah Allah kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Bezanya Rasul mendapat wahyu manakala Wali atau orang soleh tidak mendapat wahyu.

Tetapi jika sesuatu yang luat biasa itu lahir dari orang kebanyakan dari kalangan orang Islam, maka dikatakan “Ma’unah” (Pertolongan Allah) . Perkara yang luar biasa juga lahir dari kalangan orang kafir, seperti sami Buddha misalnya dapat menyembuhkan si sakit dengan begitu pantas sehingga mengkagumkan, yang membawa orang terpesona dengannya atau dia dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa maka ini adalah dinamakan sebagai “Istidraj”, iaitu dorongan untuk menyesatkannya dan menyesatkan orang yang mengikutinya.

Orang-orang Melayu kebanyakannya mempercayai sesuatu yang ganjil itu sebagai keramat, samada ianya terdiri daripada golongan manusia, binatang, pokok-pokok kayu, dan sebagainya. Mereka mempercayai bahawa keramat itu ada kuasa yang dapat memberi kesenangan dan kesusahan kepada manusia. Kepercayaan ini diwarisi dari semenjak orang-orang Melayu belum lagi memeluk agama Islam. Mereka juga percaya bahawa keramat itu mengharapkan balasan daripada segala kepenatan yang dilakukannya, oleh itu mereka menghantar pulut kuning, nasi kunyit, pisang dan sebagainya ke kubur keramat.

Hinduisme ialah bentuk kepercayaan yang datang dari pengaruh India ke Alam Melayu. Hubungan antara Alam Melayu dengan India telah terjalin sejak abad ke 2 M lagi. Kerajaan-kerajaan seperti Majapahit, Srivijaya dan lain-lain adalah kerajaan-kerajaan yang mendokong fahaman hinduisme. Selepas kedatangan pengaruh hindu, muncullah fahaman ‘sinkretisme’ iaitu percampuran antara agama Hindu-Buddha dengan unsur-unsur kepercayaan peribumi. Kesan dari proses sinkretisme ini jelas kelihatan dalam ciri-ciri agama Hindu-Bali yang masih kekal hingga kini. Sinkretisme dalam Hindu-Bali mewujudkan ciri-ciri perbezaan antara ‘Hindu-Bali’ dan ‘Hindu-India’ kerana ‘Hindu-Bali’ meliputii unsur-unsur kepercayaan peribumi dan kepercayaan agama Buddha (12) .

Dalam memperkatakan tentang pengaruh Hindu-Buddha di Alam Melayu, Prof S. M. Naquib berpendapat pengaruh Hindu dan Buddha semata diamalkan oleh suatu lapisan tipis struktur masyarakat sahaja. Ia merupakan agama yang dipertahankan oleh golongan istana serta golongan bangsawan sedangkan rakyat biasa mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap ajaran-ajaran tersebut. Van Leur menyatakan masyarakat Melayu-Indonesia itu bukanlah sebagai masyarakat Hindu kerana ia dianuti dengan bersungguh-sungguh oleh golongan bangsawannya sahaja. Sedangkan falsafah Hindu yang sebenar tidak juga difahami oleh mereka Ajaran yang mereka pegang adalah dalam bentuk pandangan hidup yang berteraskan kesenian serta upacara-upacara ritual demi untuk memperkukuhkan kedudukan golongan raja-raja dan bangsawan dalam masyarakatnya. Ia bukanlah satu ajaran yang berteraskan falsafah dan logik akal fikiran serta tidak mampu merubah pandangan hidup masyarakat di Alam Melayu itu sendiri.



 Halaman selanjutnya  HAL...1   HAL...2   HAL...3    HAL...4


Loading...


EmoticonEmoticon